Khamis, 20 Oktober 2011

Bahasa Melayu Kertas 2


Soalan : Kamu mengikut ibu kamu ke sebuah pasar malam atau pasar tani. Gambarkan keadaan dan perkara yang kamu dan ibu kamu lakukan ketika berada di pasar malam atau pasar tani.
         
          Pada hari Sabtu yang lalu saya mengikuti ibu ke pasar malam yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Kami ke sana kerana hendak membeli barang-barang keperluan dapur.

          Oleh sebab tempatnya tidak jauh dari rumah saya, kami hanya berjalan kaki. Setiba di sana, saya mendapati suasana di pasar malam itu sungguh bising. Keadaan riuh rendah dengan pelbagai bunyi, khususnya lagu yang dipasang dengan kuat oleh peniaga kaset.

          Sambil berjalan mengekori ibu, saya melihat pelbagai gelagat peniaga dan pembeli. Peniaga melaung-laung menyatakan barang-barang yang mereka jual baik dan harganya murah. Pembeli pula sibuk menawar supaya harganya dikurangkan.

          Kami berjalan dari sebuah gerai ke sebuah gerai. Kata ibu, sebelum membeli sesuatu barang lebih baik lihat dan bandingkan harganya dahulu. Setelah berjumpa dengan lebih murah, baru beli.

          Setelah sampai di kawasan hujung pasar malam itu, kami berpatah balik. Ibu saya membeli barang-barang keperluan dapur yang dikehendaki. Ibu hanya membeli barang-barang itu di gerai yang menawarkan harga lebih murah.

          Setelah membeli semua barang yang dikehendaki, kami singgah di gerai menjual makanan. Ibu turut membeli beberapa bungkus mi goreng. Setelah itu, kami pun pulang. 

Soalan : Kamu menyertai rombongan sekolah melawat sambil belajar ke sebuah kilang minuman ringan. Kamu diminta menulis laporan tentang lawatan tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Lawatan Ke Kilang Minuman

Pada 29 April 2009, seramai 35 orang murid Sekolah Kebangsaan Ladang, telah mengikuti rombongan melawat sambil belajar ke sebuah kilang minuman ringan di Petaling Jaya, Selangor. Seramai tujuh orang guru turut menyertai lawatan itu.
  
          Lawatan itu diadakan bertujuan mendedahkan murid tentang proses membuat minuman ringan. Lawatan itu juga memberi peluang murid mengalami pengalaman baru. Sebagai latihan, semua murid yang mengikuti rombongan itu dikehendaki menulis laporan tentang lawatan tersebut.

Setelah sepuluh jam dalam perjalanan menaiki bas yang disewa khas, rombongan kami tiba di kilang minuman itu pada pukul 8.00 pagi. Beberapa orang pegawai kilang itu sedia menunggu. Kemudian kami dibawa ke sebuah dewan dan diberi taklimat ringkas tentang proses pengeluaran minuman ringan di kilang itu.

Setelah itu, kami dibawa melawat di bahagian memproses minuman, sejak awal hingga ia dibotol  atau ditinkan. Kami mendapati, sebahagian kerja memproses minuman itu dilakukan oleh mesin dengan pengawasan pekerja kilang itu.

Kami melawat hingga pukul 1.00 petang. Setelah itu, kami dipelawa oleh pihak kilang untuk makan tengah hari. Kami juga dihidangkan dengan minuman pelbagai perisa yang dihasilkan oleh kilang tersebut.

Walaupun hanya beberapa jam melawat kilang minuman itu, banyak pengetahuan baru yang kami peroleh. Setelah selesai makan tengah hari kami pun pulang kira-kira pada pukul 2.30 petang. Sepanjang lawatan itu, banyak pengalaman dan pengetahuan baru yang kami peroleh dan diharap ia diadakan lagi pada masa depan.
         
Disediakan oleh,                                                                13 Mei 2009
Suhaimi                     
( Sulaiman Bin Samat)
Sekolah Kebangsaan Ladang.
Soalan : Sebagai Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu di sekolah, kamu diminta menyediakan laporan tahunan persatuan. Tuliskan laporan itu selengkapnya.

Laporan Tahunan Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Ladang
                          
Penasihat : Encik Mohd Suhaimi bin Samat
Pengerusi : Nurul Syahmina Husna
Naib Pengerusi : Amirul Syahmi Aiman
Setiausaha : Nurul Khausar Faqihah  
Bendahari : Amirul Irfan Haziq
Ahli Jawatankuasa : Amirul Aniq Aqil Fakhrullah
                                 Nur Irdina Syuhaidah
                                 Amirul Faris Hakim
                                 Amirul Danish Haikal

Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1997. Pada tahun pertama ditubuhkan, persatuan ini disertai hanya 40 orang ahli. Bagaimanapun tahun lalu, jumlah ahlinya meningkat kepada 100 orang. Kebanyakan ahli adalah murid tahun empat, lima dan enam.

Berbagai-bagai aktiviti dirancang dijalankan sepanjang tahun lalu. Sebahagian daripada aktiviti itu dijalankan di dalam bilik darjah atau di sekolah. Sebahagian lagi aktiviti dijalankan di luar bilik darjah, antaranya lawatan sambil belajar.

Antara aktiviti yang dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun lalu ialah pertandingan  bahas, bercerita dan menulis pantun antara kelas. Aktiviti itu mendapat sambutan menggalakan daripada ahli dan murid lain.

Bagaimanapun, atas sebab yang tidah dapat dielakkan, beberapa aktiviti yang dirancang pada tahun lalu tidak dapat dijalankan. Antaranya ialah pertandingan deklamasi sajak dan lawatan sambil belajar. Aktiviti itu diharap dapat dijalankan pada tahun ini.

Adalah diharapkan pelbagai aktiviti yang dirancang pada tahun ini dapat dijalankan sepenuhnya. Sehubungan itu, kejersama daripada semua pihak, khususnya ahli persatuan ini adalah diperlukan.




Disediakan oleh,                                                                                 17 Februari 2010

khausar
( Nurul Khausar Faqihah binti Suhaimi)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Ladang.

Soalan : Kamu dan dua orang kawan kamu sedang memancing di sebatang sungai. Tiba-tiba seorang kawan kamu tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai itu. Ceritakan apa yang kamu dan kawasan kamu lakukan.


          Pada suatu  hari, saya bersama-sama dua orang kawan, Hanis dan Alif pergi memancing di sebatang sungai tidak jauh dari tempat tinggal kami. Sedang kami asyik memanncing, tiba-tiba Alif tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

          Alif terkapai-kapai sambil menjerit meminta tolong kerana dia tidak pandai berenang. Saya segera mencapai sebatang kayu panjang yang kebetulan ada di situ, lalu m enghulurkan kepada Alif. Bagaimanapun, usaha saya tidak berhasil kerana Alif mula dibawa arus.

         Tanpa berlengah, saya segera terjun dan berenang ke arah Alif. Walaupun tahu berenang, saya berasa amat payah mendekati Alif kerana arus sungai ketika itu amat deras. Sungguhpun begitu, saya berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkanya.

          Setelah berusaha bersungguh-sungguh, akhirnya saya berjaya mencapai rambut Alif lalu menariknya perlahan-lahan ke tebing. Pada waktu itu, dia sudah lemas. Di tebing sungai, Hanis sedia menunggu. Setelah naik, ke atas tebing, Hanis segera memberi bantuan pernafasan. Saya pula terbaring kerana kepenatan.

          Akhirnya, Alif  tersedar. Walaupun demikian, dia kelitan tidak bermaya. Saya membuat keputusan untuk pulang sahaja. Saya meminta Hanis membantu saya memapah Alif pulang.

          Walaupun belum sempat mendapat seekor ikan pun, kami bersyukur kerana Alif terselamat.

Soalan: Kamu berjumpa dengan seeorang kawan yang lama lalu mengajaknya bercuti di kampung kamu. Tuliskan perbualan kamu dengan kawan kamu itu.


Irfan   : Hai, Haziq

Haziq : Oh, awak Irfan. Lamanya kita tidak berjumpa?

Irfan   : Yalah… sejak awak berpindah sekolah tiga tahun yang lalu, kita     langsung tidak berjumpa. Awak apa khabar?

Haziq : Saya sihat. Awak pula macam mana?

Irfan   : Saya pun sihat. Haziq, kebetulan kita berjumpa ni, saya hendak ajak awak bercuti di kampung saya pada masa cuti sekolah nanti. Itupun kalau awak tiada apa-apa rancangan lain.

Haziq : Buat masa ini  saya belum ada apa-apa rancangan lain.

Irfan   : Saya ingin sangat mengajak awak kerana kita sudah lama tidak bertemu.

Haziq : Betul kata awak tu.

Irfan   : Jika demikian, bercutilah di kampung saya. Tambahan pula tidak lama lagi musim buah-buahan. Tentu awak suka jika dapat menunggu durian gugur di dusun  bapa saya.

Haziq : Ya, memang saya suka.
 
Irfan   : Selain itu, awak juga dapat memancing. Sekarang ini sesuai     memancing di sawah. Banyak ikan puyu, sepat dan haruan di sana.

Haziq : Wah, seronoknya!

Irfan   : Kalau macam tu, bercutilah di kampung saya.

Haziq : Macam inilah saya beritahu ibu bapa saya dahulu. Nanti saya beritahu awak.

Irfan   : Saya harap awak dapat datang.

Haziq : Saya pun begitu.

Soalan : Kamu terlambat ke sekolah kerana kesiangan. Kamu perlu segera ke sekolah kerana ada ujian. Perihalkan tindakan yang kamu lakukan.

Pada pagi itu aku kesiangan. Aku segera mandi dan berpakaian. Aku mesti ke sekolah kerana ada ujian bulanan. Masalahnya, kenderaan tidak ada kerana ibu dan bapaku telah ke tempat kerja.

Aku mencapai beg sekolah, lalu mendapatkan basikal lamaku. Oleh sebab lama tidak digunakan, aku memeriksa dahulu kedua-dua tayarnya sama ada mempunyai angin atau tidak. Setelah memastikan keadaanya baik, aku pun mengayuh sekuat hati.

Malangnya, di pertengahan jalan, rantai basikalku terputus. Aku meninggalkannya di tepi jalan lalu berjalan kaki. Sekolahku kira-kira satu kilometer lagi. Aku berasa sungguh penat, tambahan pula belum bersarapan lagi.

Sambil berjalan, aku menunjukkan isyarat tangan untuk menumpang kenderaan yang lalu. Aku bernasib baik kerana dapat menumpang sebuah kereta. Setelah sampai di sekolah, aku terus belari ke kelasku.

Ujian bulanan baru sahaja tamat. Aku berasa sangat kecewa kerana tidak sempat menduduki ujian itu. Bagaimanapun, aku tidak berputus asa.  Aku segera berjumpa guru kelas dan bercerita masalahku.

Setelah mendengar ceritaku, akhirnya guru kelasku meminta aku menduduki ujian itu seorang diri.      

                                                                                                        
Soalan : Sekolah kamu akan menganjurkan seminar UPSR 2009. sebagai Setiausaha jawatankuasa penganjur, kamu diminta menulis surat kepada Yang Dipertua, Ibu Bapa dan Guru sekolah kamu untuk menjemputnya merasmikan seminar itu.

Jawatankuasa Penganjur,
Seminar Peperiksaan UPSR 2009,
Sekolah Kebangsaan Ladang,
20000 Kuala Terengganu, Terengganu.


Yang Dipertua,
Persatuan Ibu Bapa dan Guru,
Sekolah Kebangsaan Ladang,
20000 Kuala Terengganu,
 Terengganu.                                                                                  19 Januari 2010

Tuan,
Seminar Peperiksaan UPSR 2009

Perkara di atas adalah dirujuk.

2.         Sukacita dimaklumkan bahawa sekolah ini akan menganjurkan perkara seperti di atas untuk murid tahun enam sekolah ini yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini.

3.         Sehubungan itu, saya bagi pihak jawatankuasa penganjur ingin menjemput tuan hadir ke seminar tersebut, sekali gus menyampaikan ucapan dan merasmikannya.

4.         Untuk makluman pihak tuan, butiran lanjut majlis adalah seperti di bawah;

                        4.1 Tarikh : 26 Februari 2009
                        4.2 Tempat : Dewan Besar, Sekolah Kebangsaan Ladang
                        4.3 Masa : 8.30 pagi

5.         Besarlah harapan saya jika pihak tuan dapat menyatakan persetujuan berhubung perkara ini. Hal ini perlu untuk memudahkan pihak kami membuat tindakan lanjut..

Perhatian dan kesudian pihak tuan hadir bagi menjayakan majlis kami, terlebih dahulu diucapkan setinggi-tinggi terima kasih.

Sekian,

Yang benar,

Syahmina
( Nurul Syahmina Husna binti Mohd Suhaimi )          
Setiausaha,
Jawatankuasa penganjur,
Seminar Peperiksaan UPSR 2009,
Sekolah Kebangsaan Ladang.


Soalan : Kamu mendapat tahu seorang daripada kawan kamu yang tinggal di negeri lain memenangi sesuatu peraduan. Tuliskan sepucuk surat untuk mengucapkan tahniah kepadanya.

                                                          Lot PT 2094,
                                                          Taman Bayas Iandah,
                                                          21100 Kuala Terengganu,
                                                          Terengganu.
         
                                                          19 November 2009.

          Menemui sahabatku yang kini berada di Melaka, semoga berada dalam keadaan sihat.

Saudari,

         Apa khabar? Saya berharap saudari dalam keadaan sihat di samping keluarga tersayang. Saya di sini sihat walafiat.

          Tujuan saya mengutuskan surat ini adalah untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan saudari memenangi peraduan mengarang. Saya mendapat tahu kemenangan saudari itu apabila membaca berita yang disiarkan dalam akbar Metro.

          Pada mulanya saya tidak percaya tetapi setelah membaca berita itu, barulah saya tahu segala-galanya. Sekali lagi saya ucapkan tahniah. Bolehkah saudari berikan rahsia kejayaan saudari itu.

          Saya ingin tahu rahsia itu kerana saya juga minat mengarang. Sebelum ini, saya menyertai pelbagai pertandingan mengarang, termasuk yang dianjurkan pihak sekolah. Saya juga ingin jadi macam saudari, muncul pemenang pertama dalam peraduan mengarang.

          Hanya setakat ini yang dapat saya coretkan buat kali ini. Sehingga berjumpa lagi, saya berdoa saudari beroleh kejayaan lebih besar pada masa depan. Sekian, wassalam.

                                                                                      Sahabatmu,
                                                                                       Hafizah

Soalan : Tuliskan sebuah cerita berakhir dengan ayat berikut;
” ..... Sejak peristiwa itu, aku berjanji akan berkelakuan baik dan tidak mencuri lagi.”

                                              Akibat Mencuri

          Sudah menjadi tabiatku, pantang melihat sesuatu benda atau barang yang menarik, pasti aku ingin memilikinya. Masalahnya, aku tidak mempunyai wang untuk membelinya. Untuk mendapat benda atau barang tersebut, aku mengambil jalan mudah dengan mencurinya.

          Oleh sebab aku sering ditangkap kerana mencuri, kawan-kawan sekelasku memangilku Ismail Panjang. Gelaran itu diberikan sempena tabiatku yang  suka mencuri atau ’panjang tangan’. Ibuku sering menasihatku supaya jangan mencuri, tetapi aku tidak mempedulikannya.

          Pada suatu hari, aku pergi ke sebuah kedai mainan. Aku ternampak sebuah kereta Formula One. Aku sangat tertarik akan kereta itu, tetapi harganya terlalu mahal. Aku tidak mempunyai wang untuk membelinya. Setelah memastikan tiada orang melihat, aku segera mengambil kereta mainan itu.

          Tanpa berlengah aku terus keluar dari kedai itu. Malang menimpaku. Sebaik sahaja aku berada di muka pintu keluar, tauke kedai itu menahanku. Rupa-rupa dia melihat aku mencuri kereta mainan itu. Aku diserahkan kepada pihak polis.

         Aku ditahan beberapa jam di balai polis. Sewaktu ibu bapaku datang untuk menjaminku, mereka amat marah sekali. Dalam perjalanan pulang, ibuku tidak henti-henti menangis.

          Pengalaman pahit yang kualami telah membuatku menyesal. Aku juga sedar kerana perbuatanku itu, ibu bapaku dapat malu. Sejak peristiwa itu, aku berjanji akan berkelakuan baik dan tidak mencuri lagi.

Soalan : Kamu menyertai pertandingan syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan kamu ialah ’ Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum’. Tuliskan syarahan kamu selengkapnya.

          Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru besar, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan saya ialah ’Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum’.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
          Kokurikulum adalah kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan kokurikulum dibahagikan kepada tiga, iaitu pasukan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua kegiatan kokurikulum ini berfaedah kepada murid.

          Bagi kegiatan pasukan beruniform, antara faedahnya ialah meningkatkan tahap disiplin murid. Selain itu, aktivitinya juga dapatmenambahkan pengetahuan dan persefahaman. Antara aktivitinya ialah Pasukan Pengangkap dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia.

Para hadirin sekalian,
          Kelab dan persatuan juga tidak kurang faedahnya. Antaranya dapat memupuk asas kepimpinan di kalangan murid. Contoh kelab persatuan ialah Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris dan lain-lain lagi.

          Demikian juga, dengan kegiatan sukan dan permainan. Antara faedah aktiviti ini yang tidak dapat dinafikan ialah meningkatkan tahap kesihatan. Selain itu, kita juga akan akan mahir dalam sesuatu acara ataupun permainan.

          Seperti yang saya nyatakan, kegiatan kokurikulum banyak faedahnyayang bukan sahaja dapat meningkatkan pencapaian diri, malah kesihatan dan persefahaman. Oleh itu, diharapkan semua murid tidak mengabaikannya.

Soalan : Pencemaran alam sekitar sering menjadi tajuk perbincangan kebelakangan ini. Bincangkan punca pencemaran alam sekitar dan cara-cara mengatasinya.
            
          Pencemaran alam sekitar sering menjadi tajuk perbincangan kebelakangan ini. Hal ini kerana pelbagai pencemaran telah berlaku bukan sahaja di air, malah udara, bunyi mahupun kawasan tempat tinggal.

          Pencemaran air sama ada di kolam, sungai mahupun laut disebabkan perbuangan bahan terbuang. Antaranya ialah sisa toksik. Untuk mengatasinya, masyarakat perlu dididik supaya senrtiasa menjaga kebersihan air dan sedar akan kepentingannya kepada kepada manusia serta hidupan lain.

          Pencemaran udara pula berpunca daripada perlepasan asap, terutama daripada kilang dan kenderaan. Udara yang kotor berbahaya kepada kesihatan manusia. Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan peraturan tahap pengeluaran asap. Jika ada yang melanggar peraturan itu, tindakan undang-undang perlu di ambil.

          Bagi pencemaran bunyi, antara puncanya ialah kenderaan dan kerja-kerja pembinaan. Bunyi bising menyebabkan kehidupan kita tidak tenteram. Antara cara mengatasinya ialah kerajaan menetapkan peraturan tahap pengeluaran bunyi. Tindakan undang-undang juga hendaklah diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan itu.

          Selain itu, pencemaran juga berlaku di tempat tinggal. Antara puncanya ialah sikap penduduknya yang tidak prihatin terhadap kebersihan. Mereka membuang sampah-sarap di merata-rata tempat sesuka hati. Bagi mengatasinya, mereka perlu membuang sampah di tempat yang disediakan.

          Untuk menjaga kebersihan alam sekitar, semua pihak perlu bertanggungjawab. Usaha yang dilakukan bagi mengatasi pencemaran tidak akan berhasil tanpa kerjasam mereka.                

Soalan : Kamu menyertai pertandingan bahas sebagai pencadang bagi tajuk ’Kesihatan Lebih Penting daripada Kekayaan’. Tuliskan hujah-hujah yang kamu sampaikan.

          Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang, guru-guru dan hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Sebagai pencadang, pendirian saya tetap, iaitu ’Kesihatan Lebih Penting daripada Kekayaan’

Hadirin yang dihormati sekalian,
          Pendirian saya berasas. Hal ini kerana kekayaan yang dimiliki tidak akan bererti jika kita sakit, terutama menghidapi penyakit kronik. Kehidupan seseorang itu lebih bermakna jika mempunyai badan yang sihat, sekalipun tidak mempunyai kekayaan.

          Sesungguhnya kesihatan tidak dapat dibeli dengan kekayaan. Walaupun kekayaan dapat membeli ubat yang mahal, namun ubat itu belum tentu berhasil mengubat penyakit yang dihadapi. Apa yang pasti, ramai di kalangan orang kaya gagal menyelesaikan masalah kesihatan mereka.

Para hadirin sekalian,
          Untuk mencari kekayaan, kesihatan badan diperlukan. Sekalipun hidup sederhana, mereka yang sihat boleh berusaha untuk mencari kekayaan itu. Apa yang lebih penting, kehidupan mereka hormani kerana tidak menghidapi sebarang penyakit.

          Orang yang mementingkan kesihatan juga lebih berdisiplin dan tidak tamak. Keadaan ini tidak wujud bagi orang yang sentiasamengejar kekayaan. Selain bekerja sepanjang masa tanpa mempedulikan kesihatan, mereka juga bimbang keselamatan harta benda yang dimiliki.

          Berdasarkan hujah-hujah yang saya berikan,ternyata bahawa kesihatan lebih penting daripada kekayaan. Oleh itu, jagalah kesihatan diri keranaia menjamin kehidupan yang sejahtera. Terima kasih.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan