Isnin, 17 Oktober 2011

Kata Majmuk Yang Mantap







KATA MAJMUK YANG MANTAP


1.antarabangsa
2.bertanggungjawab               
3.warganegara              
4.pesuruhjaya               
5.peribadi  
6.dinihari             
7.hulubalang                 
8.sukacita            
9.dukacita  
10.barangkali                
11.kadangkala
12.beritahu
13.bumiputera
14.jawatankuasa
15.kakitangan
16.kerjasama
17.olahraga
18.matahari
19.setiausaha
20.sukarela
21.suruhanjaya
22.tandatangan
                                                                                               
Ayat Tunggal

Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu klausa.

Contoh ;
1.Ali guru.
2.Anak itu lapar.
3.Selendang itu untuk ibu.
4.Mereka berkumpul di dewan.
5.Anak orang itu sedang tidur.


Ayat Majmuk

Ayat majmuk pula mengandungi lebih daripada satu klausa.

Contoh;
1.  Ali guru tetapi adiknya kerani.
2.  Anak itu lapar kerana belum diberi susu.
3.  Selendang itu untuk ibu manakala   songkok untuk ayah dan baju ini untuk adik.
4.  Mereka berkumpul di dewan untuk mendengar ceramah.
5.  Anak orang itu sedang tidur ketika kami sampai sementara kakaknya sedang tidur.

Soalan : Tuliskan catatan harian tentang perkara yang kamu lakukan pada suatu hari tidak bersekolah       

Sabtu, 13 Jun 2007

5.30 pagi – Bangun dari tidur. Membersihkan diri dan mendirikan solat Subuh. Sejam kemudian, memakai pakaian sukan dan berjoging di padang.

8.00 pagi – Bersarapan pagi. Setelah berehat, membca bahan bacaan ringan, termasuk akhbar. Pada masa yang sama mendengar radio.

9.30 pagi – Menyelesaikan kerja-kerja sekolah dan belajar sendiri. Dua jam kemudian menonton televisyen. 

1.00 petang – Makan tengah hari bersama keluarga. Setelah itu bersiap untuk solat Zuhur. Selepas sembahyang, berehat sambil menonton televisyen.

2.30 petang – Mengulang kaji pelajaran. Hari ini, menelefon kawan kerana ada beberapa soalan yang tidak difahami.

4.00 petang – Rehat seketika. Setelah itu, menolong ayah mencuci kereta. Sejam kemudian, mendirikan solat Asar. Setelah itu, bersiap sedia untuk ke padang.

5.30 petang – Beriadah. Petang ini bermain bola sepak bersama kawan-kawan di padang. Sebelum itu, berjoging mengelilingi padang untuk memanaskan badan.

7.00 malam – Mandi dan bersiap sedia mendirikan solat Maghrib. Setelah itu, makan malam bersama keluarga. Malm ini aku berselera makan malam kerana ibu memasak ikan asam pedas.

8.00 malam – Menonton siaran berita di televisyen.

9.00 malam – Mengulang kaji pelajaran.

11.00 malam – Mengemas buku-buku yang akan dibawa ke sekolah keesokan hari. Setelah itu, tidur.

Soalan : Kamu ditugaskan menemu ramah seorang pengunjung pusat beli belah tentang kebaikan kebaikan membeli barangan buatan Malaysia. Tuliskan temu ramah kamu dengan pengunjung itu selengkapnya.   
        
Syahmina    :  Selamat sejahtera. Saya, Husna, wartawan Didik.

Pengunjung :  Ya, selamat sejahtera.

Syahmina    :  Encik, boleh saya menemu ramah encik sebentar.

Pengunjung :  Boleh, tapi tentang apa?

Syahmina    :  Tentang kebaikan membeli barang-barang buatan Malaysia.

Pengunjung :  Boleh, apa salahnya.

Syahmina    :  Pada pendapat encik, apakah kebaikan kita membeli barangan buatan Malaysia berbanding barangan dari luar negara.

Pengunjung :  Pertama, barangan buatan negara kita juga tidak kurang mutunya berbanding dari luar negara. Sebab itulah barangan negara kita bukan sahaja mendapat permintaan dalam negara, malah di luar negara. Satu daripadanya ialah kereta nasional.

Syahmina    :  Selain bermutu, adakah sebab lain encik memilih barangan buatan tempatan?

Pengunjung :  Ya, ada. Harga barang-barang buatan tempatan lebih rendah berbanding barangan yang sama dari luar negara.

Syahmina    :  Apakah encik berasa bangga kerana membeli barang-barang buatan tempatan?

Pengunjung :  Sudah tentu. Saya sememangnya yakin dengan konsep ’Malaysia Boleh’. Dalam hal ini juga, kalau bukan kita yang berbangga dengan barangan buatan negara sendiri, siapa lagi.

Syahmina    :  Apakah betul, dengan membeli barangan buatan tempatan dapat mengukuhkan  lagi ekonomi negara?
Pengunjung :  Benar. Apabila barangan tempatan dapat dijual dengan banyak sama ada di dalam mahupun di luar negara, ini akan memantapkan ekonomi negara. Selain itu, langkah ini juga akan mengelakkan pengaliran wang kita ke luar negara.

Syahmina    :  Terima kasih, encik keran sudi ditemu ramah.

Pengunjung :  Sama-sama.

Soalan : Mata pelajaran Sains diajar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tuliskan karangan tentang faerdah-faedah mempelajari sains.

          Kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seharian tidak dapat dinafikan. Oleh sebab itu, mata pelajaran Sains diperkenalkan sejak dibangku sekolah rendah lagi.

          Mempelajari sains banyak faedahnya. Yang pertama, kita dapat mengetahui tentang kejadiaan alam semesta. Kita juga dapat mengetahui sebab dan akibat sesuatu kejadiaan itu, misalnya berlakunya siang dan malam.

          Faedah yang kedua ialah mengetahui teknologi yang digunakan seharian. Sebahagian besar alat yang digunakan manusia pada hari ini ialah hasil teknologi. Dengan mengetahuinya, kita dapat mengatasinya jika menghadapi masalah.

          Selain itu, mempelajari sains dan menguasai ilmunya membolehkan kita menghasilkan reka cipta terbaru. Hasil teknologi yang dicipta itu bukan sahaja boleh digunakan sendiri, malah dikomersialkan.

          Apabila sudah menguasai ilmu sains, kita tidak lagi berada pada takuk yang lama, iaitu sebagai pengguna. Sebaliknya, kita akan menjadi pengeluar barangan berasaskan sains dan teknologi. Kedudukan negarakita sudah tentu setanding dengan negara maju.

          Berdasarkan faedah-faedah mempelajari sains itu, sewajarnya kita mempelajarinya sejak awal lagi. Faedahnya bukan sahaja untuk kebaikann diri sendiri, malah kepada negara.

Soalan : Tuliskan sebuah cerita berdasarkan berdasarkan peribahasa ’Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.

          Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna

          Amin seorang yang bukan sahaja malas, tetapi nakal. Walaupun tahu akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tidak lama lagi, dia tidak mempedulikannya. Masa yang ada dihabiskan dengan bermain.
         
          Kawan-kawan sekelasnya pernah mengingatkan Amin supaya berlajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan itu. Dia bukan sahaja tidak mendengar nasihat itu, malah mengejek kawan-kawannya.

          Guru kelasnya juga tidak putus-putus menasihatkan Amin supaya belajar dan menyiapkan kerja rumah. Di rumah, nasihat ibunya langsung tidak diendahkan. Amin beranggapan peperiksaan itu mudah dan tidak perlu belajar.

          Sedang murid-murid lain mengikuti kelas tambahan yang diadakan setiap petang, Amin asyik dengan basikalnya. Dia pernah berkata kepada seorang kawannya, ”Ala, buat apa belajar teruk sangat, ujian sebenarnya kacang bagi aku.”

          Harri peperiksaan tiba. Amin terkial-kial tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan. Akhirnya dia mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan itu. Kawan-kawannya mendapat keputusan yang cemerlang.

          Amin berasa malu dan menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, penyesalannya ibarat nasi sudah menjadi bubur. Bak kata peribahasa ’Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Soalan : Sekolah kamu menjadi tuan rumah satu pertandingan permainan peringkat daerah. Tuliskan sebuah berita tentang pertandingan itu.

KUALA TERENGGANU, 4 MAC 2010 – Sejumlah lapan pasukan menyertai pertandingan bola baling peringkat daerah Terengganu. Pertandingan ini berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Ladang, di sini, hari ini.

          Setelah menewaskan pasukan lawan masing-masing di peringkat awal, empat pasukan, iaitu Pasukan Perdana, Pasukan Utama, Pasukan Permai dan Pasukan Indah berjaya ke perlawanan seterusnya.

          Setelah menunjukkan kehandalan masing-masing di peringkat separuh akhir, Pasukan Perdana berjaya menewaskan Pasukan Indah, manakala Pasukan Utama pula mengalahkan Pasukan Permai.

          Dengan kemenangan itu, Pasukan Perdana dan Pasukan Utama bertemu dalam perlawanan akhir. Dalam perlawanan sengit itu, Pasukan Perdana terpaksa akur dengan kehebatan Pasukan Utama, yang muncul johan.

          Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Pasukan Indah berjaya menundukkan Pasukan Permai. Dengan itu, Pasukan Indah menduduki tempat ketiga, manakala Pasukan Permai di tempat keempat.

          Piala dan hadiah kepada johan, naib johan dan tempat ketiga disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah. Johan akan mewakili daerah Kuala Terengganu ke peringkat negeri tidak lama lagi.

Soalan : Tuliskan sebuah karangan bertajuk ’Aku Sebuah Basikal’.

Aku sebuah basikal

          Aku dipasang di sebuah kilang di Petaling Jaya. Sebahagian daripada badanku diperbuat daripada besi, manakala sebahagian lagi daripada getah dan plastik. Badanku bewarna hijau dan aku dinamakan ’Hebat’.

Setelah siap dipasang, aku bersama kawan-kawanku dihantar ke bandar Kuala Terengganu. Apabila sampai di sana, aku diturunkan dan dipamerkan di sebuah kedai basikal.

Beberapa hari kemudian, seorang budak lelaki bersama bapanya datang ke kedai basikal itu. Dia membeliku dengan harga RM 300.00. Sejak hari itu, aku mendapat tuan baru.

  Tuan baruku sangat sayang kepadaku. Setiap hari dia menggunakan aku untuk pergi ke sekolah. Entah macam mana, pada suatu hari sebuah lori sampah melanggarku. Waktu itu, tuanku meletakku di tepi jalan. Sebahagian daripada badanku rosak.

Aku berasa sangat kecewa kerana tidak dapat lagi memberi khidmat kepada tuanku. Tuanku pula tidak mahu membaiki aku. Tuanku meletakkan aku di tepi rumahnya. Aku terbiar di situ sama ada hari panas mahupun hujan.

Pada suatu hari, tuanku pulang dengan sebuah basikal. Rupanya sama sepertiku, cuma warnanya sahaja berbaza, iaitu merah. Rupa-rupanya, tuanku telah membeli basikal baru. Beberapa hari kemudian aku dijual sebagai besi buruk.

Soalan : Tuliskan sebuah karangan biografi tentang ibu kamu.

          Ibu adalah orang yang paling saya sayangi, selain ayah dan adik-beradik. Nama ibu saya Hafizah binti Abdullah. Ibu dilahirkan pada tahun 1975 di Hospital Besar Kuala Terengganu.

          Beliau menerima pendidikan awal di tempat kelahirannya, manakala pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman. Ibu seorang pelajar yang cemerlang.

          Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan, ibu melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Kerana minat mengajar, ibu mengikuti jurusan pendidikan.

          Selepas tamat belajar di universiti, ibu menjadi guru di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu. Ibu dihormati kerana sikapnya yang peramah. Selain itu, beliau suka bergaul dan mernyetai kerja-kerja kebajikan.

          Walaupun sibuk dengan tugas dan kerja-kerja kemasyarakatan, ibu tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadap keluarga. Beliau sentiasa mengambil berat tentang hal-ehwal keluarga, terutama anak-anaknya.
      


      
            











  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan